Bukan setakat kucing, malah bulu binatang yang tidak halal dimakan akan menjadi najis apabila tertanggal dari tubuhnya...
Terasa was-was, itulah fikiran saya selama ini setelah membaca sedikit info fiqah dalam majalah Solusi terbaru iaitu isu nombor 26. Mana tidaknya, kucing yang dibelas pasti akan meninggalkan bulunya di merata-rata tempat. Pasti ia akan melekat kepada kain baju kita bukan? Bulu kucing adalah najis, itulah yang tertulis di dalam info tersebut.
Menurut mazhab Syafi’i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuhnya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu binatang yang tidak halal dimakan akan menjadi najis apabila tertanggal dari tubuhnya, sama ada semasa hidup atau selepas mati. Namun menurut mazhab Hanafi dan Maliki, ia adalah suci.
Begitulah menurut info yang dibaca, ditambah pula hubungannya dengan solat. Menurut hukum syarak, syarat sah mengerjakan solat itu hendaklah bersih daripada segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat solat. Maka itu, jika terdapat bulu binatang yang dihukumkan najis pada pakaian atau badan maka solat itu tidak sah kerana menanggung sesuatu yang najis.
Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit seperti sehelai dua, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap najis walaupun sedikit. Bertapa pentingnya kebersihan di dalam solat, begitu juga dengan kehidupan kita seharian. Tambahan pula, Rasullah pernah bersabda bahawa “kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.”
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi sedikit kesedaran kepada kita, bahawa menjaga kebersihan itu penting di dalam kehidupan kita seharian dan yang paling penting adalah ketika hendak menunaikan solat..
No comments:
Post a Comment